-->

Allah Jua Sebaik-sebaik Perancang

Tanggal 12 Rabi'ul awwal merupakan detik bermakna dalam sejarah Islam. Pada tanggal ini lahirnya seorang insan mulia yang menjadi nur pada seluruh umat manusia. Seorang insan yang membawa umat manusia keluar dari kegelapan menuju cahaya (iman). Seorang insan agung yang membawa manusia kepada tauhid. Baginda jualah sebaik-sebaik manusia dan menjadi contoh teladan bagi seluruh umat manusia (المثل الأعلى). Ini adalah sejarah bagi umat Islam yang tidak mungkin akan dilupakan. Apatahlagi setiap ajaran dan amalan baginda saw menjadi ikutan setiap insan yang bergelar muslim. Baginda saw tidak syak lagi merupakan role model terbaik bagi setiap insan.

Dan berkongsi tarikh yang sama dengan kelahiran insan ulung ini ialah kembalinya mantan presiden AKHI Club saudara Mohd Ikhwan Mohd Jamil kepada Ilahi. Kepada penciptanya. Seruan pemilik hak dan batinnya disambut pada awal pagi tadi sekitar 3 pagi di Hospital Ampang Pandan Indah setelah terlibat dalam kemalangan pada malam sebelumnya. Arwah mengalami cedera parah dan dikejarkan ke hospital sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di sana.


Sepanjang mengenali arwah di dalam AKHI Club, arwah merupakan seorang pemimpin yang sangat berkaliber dan bertanggungjawab. Sentiasa bersama-sama rakan-rakan seperjuangan berusaha meningkatkan kualiti kelab ini. Berusaha cuba memberi yang terbaik dalam khidmat masyarakat khususnya mentee-mentee AKHI Club. Walaupun telah menamatkan pengajian di UIA, arwah masih setia memenuhi jemputan kami ke program-program AKHI Club dan tidak jemu-jemu melontarkan pendapat dan tunjuk ajar demi kemajuan AKHI Club. Walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang pakar motivasi di bawah syarikat pengurusan Telaga Biru arwah masih sempat meluangkan masa untuk program-program kami.

Perginya arwah meninggalkan bonda dan ayahanda serta 4 orang adik yang cukup terasa dengan pemergiannya. Tidak ketinggalan teman-teman seperjuangan yang setia bersama-sama arwah turut terkesan dengan pemergian arwah. Jenazah disolatkan di hospital dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kedah pada tengah hari tadi.

Al-fatihah dan Yasin buat saudara Mohd Ikhwan Mohd Jamil. Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Serta kepada keluarga arwah, semoga kuat dan tabah menerima ketentuan ini. Sesungguhnya arwah merupakan antara pinjaman terbaik dari Allah kepada kita semua. Dan kini tiba masanya untuk kita memulangkan arwah kembali kepada pemilik mutlaknya. Justeru, ikhlaslah dan redhalah dengan pemergian ini. Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang. Moga hikmahNya yang mengiringi pemergian ini sampai ke lubuk hati kita yang paling dalam. Aamiin.

Share this:

CONVERSATION

0 comments :

Post a Comment