-->

Di Sebalik RAMADHAN


Bulan Ramadhan sering kali dinanti-nanti oleh umat Islam. Seperti diketahui umum pada bulan ini Allah swt menggandakan ganjaran kepada hamba-hambaNya yang melakukan amal kebaikan. Namun amal kebaikan ini seringkali dikaitkan dengan hanya amalan seperti solat, membaca al-quran, dan sebagainya yang berbentuk kerohanian (ruhiyyah). Sedangkan amalan kebaikan itu luas skopnya. Pada zaman kini kita seringkali dihidangkan dengan kisah-kisah nabi dan sahabat yang bertemakan solat dan puasa, seolah-olah kehidupan para sahabat pada bulan Ramadhan hanyalah dipenuhi dengan aktivit solat dan puasa sahaja.
Namun, jika kita menyingkap kembali sejarah Islam, terdapat banyak peristiwa yang berlaku pada bulan yang mulia ini yang mana pengajarannya bukan sahaja boleh kita peroleh dari segi kerohanian, malah juga dari segi politik (siasiyyah), iaitu perjuangan nabi dan sahabat dalam menjadikan Islam sebagai satu cara hidup bagi setiap individu, masyarakat dan negara.

Perang Badar - Perang pertama dalam Islam yang terjadi pada tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Perang ini merupakan peristiwa amat penting dalam menentukan kesinambungan Daulah Islam yang baru sahaja 2 tahun didirikan oleh Rasulullah saw di Madinah. Perang ini diketuai sendiri oleh Rasulullah dengan jumlah kaum Muslimin lebih kurang 300 orang dengan kekuatan 70 ekor unta menghadapi tentera kafir Quraisy seramai lebih kurang 1000 orang dengan 100 pasukan berkuda dan 700 unta. Dengan izin Allah kaum Muslimin mendapat kemenangan cemerlang walaupun dengan bilangan tentera dan kelengkapan perang yang sedikit dan kemenangan ini telah memperkuatkan lagi Daulah Islamiyyah.

Peristiwa pembebasan kota Mekah yang berlaku pada 20 Ramadhan tahun 8 Hijrah, setelah terjadinya pengkhianatan oleh kaum kafir Quraish terhadap perjanjian mereka dengan Rasulullah. Dengan kekuatan perang sebuah Negara, Rasulullah kembali ke Mekah, tempat di mana baginda dahulunya diusir hanya semata-mata kerana baginda menyeru orang ramai kepada agama Allah. Tanpa apa-apa pertumpahan, Rasulullah akhirnya berjaya menawan kota Mekah yang sekaligus bermaksud segala kekufuran dan sistem-sistem kufur yang diterapkan di Mekah berjaya dihapuskan dan diganti dengan sistem Islam. Mekah kemudian digabungkan ke dalam Daulah Islam dan bersatu di bawah satu pemerintahan.

Selain dua peristiwa besar tersebut, banyak lagi aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat yang menunjukkan bahawa aktiviti tersebut bukan sekadar berbentuk ruhaniyyah malah juga dari segi siyasiyyah atau dalam erti kata lain persiapan mereka membina masyarakat dan negara yang berpaksikan Islam.

Persiapan Perang Khandaq juga dilakukan pada bulan Ramadhan, begitu juga kepulangan para pejuang Islam dari Perang Tabuk, utusan Thaif datang ke Madinah untuk menyatakan keIslaman, utusan raja-raja Himyar datang untuk menyatakan keIslaman (9H), pengutusan Saidina Ali Abi Thalib ke Yaman khususnya kepada kabilah Hamadan yang keseluruhannya masuk Islam dalam satu hari (10H).

Jika disenaraikan peristiwa dan pengajaran yang dibekalkan oleh para nabi dan sahabat, memang tidak menang tanganlah untuk kita menaipnya atau menulisnya satu persatu. Wahai muslimin dan muslimat pernahkah kita terfikir mengapa orang-orang kafir Quraisy tersangatlah marah dengan tindakan para sahabat dahulu membacakan al-quran secara terang-terangan sehingga bertindak membelasah mereka dengan teruk seperti yang berlaku kepada Ibn Mas'ud ra. 

Pada hari ini, umat Islam bebas membacakan ayat-ayat suci al-quran. Pertandingan-pertandingan tilawah, mahupun hafazan al-quran galak dianjurkan. Apakah ianya membangkitkan kemarahan yang sama daripada musuh-musuh Islam seperti yang berlaku pada zaman sahabat? Justeru, apa bezanya bacaan al-quran pada hari ini dengan yang dibacakan oleh Ibn Mas'ud, malahan bacaan Al-Quran mereka jauh lebih banyak dan panjang dari Ibnu Mas’ud? Jawapannya kedengaran mudah tetapi payah untuk dilaksanakan : Jika kita membaca Al-Quran, memahaminya, mengamalkannya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menerapkannya dalam kehidupan, maka inilah yang sangat dimarahi dan ditakuti oleh golongan kafir, termasuklah pemimpin-pemimpin sekular yang sepemikiran dengan golongan kafir ini.

Bangkit dan berjuanglah wahai umat Nabi Muhammad. Kerana dengan Islam kita hidup. Dengan Islam kita mencapai redha Allah. Wallahu'a'lam.
Salam Ramadhan! =)

Share this:

CONVERSATION

1 comments :