-->

Tautan Hati AKHI


Sahabat kawan seiman,
Satu jalan dalam kenangan,
Tak pernah lepas dari ingatan,
Kerana ALLAH jadi tujuan.

Assalamualaikum w.b.t buat semua pengunjung blog AKHI yang dikasihi. Alhamdulillah, semester baru telah membuka tirai begitu juga tirai UPSR. Selamat datang dan Selamat Kembali diucapkan  kepada semua pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada esok hari,semoga berjaya diucapkan dan lakukan yang terbaik. Buat mahasiswa dan mahasiswi UIAM, semoga hadir dengan semangat baru, azam baru, cita-cita baru, sahabat baru dan ukhuwah yg baru. 

Seperti tajuk kita di atas...Ukhuwah...apa yang dimaksudkan dengan ukhuwah?

Menurut imam Hasan al-Bana, ukhuwah ialah ketertarikan hati dan jiwa antara satu sama lain dengan ikatan akidah iaitu Islam. Ukhuwah tidak boleh diada-adakan mahupun diwarisi tanpa memenuhi syarat-syarat tertentu. Hal ini kerana ukhuwah merupakan roh yang dihidupkan Allah dalam hati orang-orang yang beriman apabila Dia mengkehendaki agar mereka dekat dan bersatu. Ibnu Abbas r.a berkata bahawa sahabat karib dapat diputus, dan budi dapat diingkari, tetapi jika Allah mempersatukan hati mereka,maka tiada apa yang dapat menggoncangkan  ukhwah yang terbina.

Islam menganjurkan erti ukhuwah dalam perhubungan sesama saudara. Hubungan yang diberi nama Ukhuwah Islamiyah, bukan sebuah jalinan yang biasa kerana ia berlandaskan kecintaan kepada Pencipta Agung,Allah S.W.T. Ia merupakan rahsia Allah yang suci dan tidak memerlukan pengenalan atau pendahuluan kerana dalam beberapa saat sahaja, jiwa dan hati boleh dipenuhi dengan perasaan ukhuwah. Dengan ikatan rahsia ini, mereka tiba-tiba bersaudara sehinggakan satu sama lain tidak sanggup berpisah dan tidak sabar menanti bertemu jika berjauhan. Dalam erti kata lain, ukhuwah menyebabkan seorang sahabat sentiasa inginkan yang terbaik buat sahabatnya yang lain disamping mengharapkan sahabatnya itu mendapat keredhaan Allah dan kebaikan di akhirat kelak.

Terdapat pelbagai aktiviti yang dapat mengeratkan jalinan ukhuwah sesama umat Islam. Antaranya, melalui aktiviti-aktiviti seperti yang dilakukan pada bulan Ramadhan dan Syawal yang lepas. 

#Throwback 1 (Kembara Ilmiah Ihya Ramadhan)

Pada Ramadhan yang lepas, Jumaat dan Sabtu (18-19 Julai 2014), sebuah aktiviti yang diberi nama Kembara Ilmiah Ihya Ramadhan telah diadakan bagi memberi kesempatan kepada para mentee Kelab AKHI merasai pengalaman menyambut Ramadhan di UIAM. Program ini juga diadakan bagi tujuan menguatkan lagi hubungan antara para mentor dan mentee bukan sahaja sewaktu program mentoring tahunan. Alhamdulillah para mentor dan mentee telah berpeluang bersahur di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, bertadarus dan tahsin bacaan al-Quran bersama-sama. Selain itu, para mentor dan mentee juga sempat berkongsi kisah-kisah dan pengajaran yang diperoleh daripada bacaan al-quran. Para mentee juga telah dibawa beriadhah di Stadium Saidina Hamzah, UIAM sebelum  berehat dan mengadakan aktiviti mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah. Usai menimba ilmu, para mentor dan mentee bersiap-siap untuk bertolak ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bagi berbuka puasa dan bertarawih di sana. Terlalu banyak kenangan manis yang diperolehi sepanjang program Kembara Ilmiah Ihya Ramadan dijalankan.



#Throwback 2 (Kembara Ukhuwah Ramadhan)

Pada 24 Julai 2014, Kelab AKHI telah menerima jemputan daripada salah seorang ibu bapa mentee yang lebih dikenali sebagai Kak Aizah untuk berbuka puasa bersama-sama keluarganya di kediaman mereka. Gembira tak terkata rasanya tatkala mendapat jemputan ibu bapa mentee. Terasa eratnya hubungan walau belum pernah bersua. Dengan segala layanan dan juadah yang enak  disediakan bagi menyambut kedatangan para mentor, hanya kiriman terima kasih dan doa yang mampu dipanjatkan atas segala layanan yang diberikan. Usai menjamu selera, para mentor  sempat berkongsi cerita dan pengalaman mengenai anak-anak ini bersama ibu bapa mereka dan melayan kerenah anak-anak kecil ini. Mereka juga teruja untuk untuk menjemput para mentor bertandang ke rumah mereka di hari lebaran nanti. 



#Throwback 3 (Riang Ria Raya Melaka-Johor)

Selain diadakan pelbagai aktiviti mengeratkan ukhuwah bersama para mentee, aktiviti bersama para mentor juga turut diadakan bagi memelihara hubungan kekeluargaan sebagai sebuah organisasi. Alhamdulillah. sambutan Aidilfitri pada 1 Ogos 2014 yang lepas telah dimeriahkan dengan kunjungan sebahagian ahli Kelab AKHI ke beberapa buah rumah mentor menerusi program kecil Riang Ria Raya Melaka-Johor. Program ini telah sedikit sebanyak mempererat ukhuwah sesama mentor dan ahli keluarga serta membudayakan aktiviti saling berkunjung pada musim perayaan.


 #Throwback 4 (Kembara Syawal)

Syukur dengan izinnya para mentor kelab AKHI berpeluang menziarahi kediaman adik-adik mentee di Bandar Baru Sentul dan Setapak pada hari Sabtu, 16 Ogos 2014 bersamaan 20 Syawal 1435H yang lepas. Meskipun Syawal kian melabuhkan tirai, para mentor tidak keberatan meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah adik-adik bagi mengeratkan lagi ukhuwah sesama mereka. Seawal jam 9 pagi para mentor bertolak ke Sentul untuk memulakan Kembara Syawal pada hari tersebut. Sungguh! Pengalaman yang memang tidak boleh dijual beli bilamana para mentor saling bertanya khabar dan berkongsi cerita sesama keluarga mentee. Para mentor dihidangkan dengan juadah-juadah istimewa dan disambut baik oleh tuan rumah. Riuh tak terkata! Bahang Kembara Syawal diteruskan pada hari berikutnya, 17 Ogos 2014 dengan menziarahi rumah mentor dan dua buah rumah mentee. Hubungan persaudaraan dan ukhuwah dalam Kelab AKHI semakin erat dengan menikmati Hari Raya Aidilfitri bersama-sama tambahan lagi dengan melibatkan para mentee. Ribuan terima kasih diucapkan buat seluruh keluarga AKHI dan keluarga para mentee kerana sudi menjemput serta meluangkan masa bersama dalam memenuhi saat-saat indah Aidilfitri. Semoga Allah memberkati setiap amalan ini seterusnya dapat mencapai objektif Kelab AKHI. 

  
             


Persahabatan yang sejati akan membawa kerinduan yang abadi...
Sesungguhnya persahabatan itu lebih unggul daripada percintaan...
Tanpa persahabatan,percintaan akan berakhir...
Tetapi tanpa percintaan, persahabatan boleh kekal...
Oleh itu, hargailah persahabatan yang terjalin....



 

Share this:

CONVERSATION

0 comments :

Post a Comment