-->

Recruitment AKHI 2017

Recruitment AKHI 2017

Penulis: Muhammad Nor Wazien bin Norrashid


   Satu-satu pergerakan pembangunan kolektif tidak boleh tidak berkehendakan sebilangan individu pendalang yang jiwa dan mindanya terpasak kefahaman untuk dahulukan mereka yang sejagat daripada diri yang sendiri. Lapangan fikirannya diperjelas lagi diyakini tujuan-tujuan padu yang memacu gerak hati berzahirkan tindakan.

Dalam karya hebat cetusan ilham dan penghayatan Prof. Dr. Hamka bertajuk ‘Peribadi’ ditulisnya, “..timbullah dengan jelas beberapa orang yang berjalan di hadapan sekali, yang harganya seperti orang seorang kadang-kadang lebih daripada bermillion orang.” Malu lagi malas kita untuk paling tidak sekejap letakkan status sebegini ke atas diri, sebab ini tentang perwatakan unggul lagi bersugguh dalam perjuangan membangunkan generasi, kan agak janggal, siapa sangat lah kita.

Betul, situasi tenang tanpa daya tolak menatijahkan tidak ada apa yang tertolak. Tapi insyaAllah ramai antara kita tidak sebegini, semoga sama-sama kian cakna terhadap sekeliling.

Doa kita agar musibah di sini diangkat dan kita diselamatkan. Makanya ambil peluang dalam tempoh mampu sebegini yang entah lama mana, untuk buat persiapan. Latih dan biasakan satu cabang perspektif yang menyoal kepada diri akan nilai dihidupkan dan bekalan apabila dimatikan.
                                                          * * * * *
Boleh jadi, di sini ada sesuatu yang kita cari. Rasa perjumpaannya mungkin lewat difahami akibat terturut tempoh dan keadaan semula jadi. Lumrah hikmah yang hampir semuanya rahsia dan makan masa untuk diteliti, lagi cetek akal berpengaruh hawa dan emosi langsung melambatkan penerimaan dan penghadaman. Tak apalah, ini tentang takdir dan keistimewaannya yang tersendiri.

Dalam usaha yang berstruktur dan kemas beroganisasi, asasnya daripada matlamat yang sama-sama dipandang dan diamati. Pesanan lazim tentang betulkan niat yang seakan terlalu sudah tepu dan lali sebenarnya perlu, sebab ini yang paling tercabar dan selalu teruji. Jadinya, bijak dan matanglah dalam melihat kuasa Agung untuk menyalur harapan dan bermohon lindungan menyeluruh. Kedua, ke akal yang sentiasa digilap ilmu, mudah-mudahan percaturannya berasas dan penuh rasional.

Ke peringkat program mentoring pula, situasi bersama generasi cilik, ceria, comel dan bersemangat ini sememangnya tak senang duduk dan tak henti bibir dibuatnya. Jelasnya, aras pemikiran dan tindakan kita harus diturunkan ke tahap keanakan, namun refleksi kefahaman yang berbalik mengajarkan kedewasaan.

Hakikatnya, di hadapan kita ini satu peluang pelaburan, jiwa-jiwa muda yang hadir dalam tempoh dua tiga hari ini amat perlu untuk dipupuk nilai-nilai Islam yang jika di luar sana mungkin kurang penekanannya, lagi diasak tarikan hiburan dan bahana kelalaian. Kita juga insyaAllah bakal melahirkan generasi baru, akan diletak pula dalam komuniti yang sekarang, jadi tempoh tiga hari tadi boleh jadi sebagai usaha pembentukkan persekitaran cemerlang untuk peradaban jangka masa panjang.

Tahajud dan rawatib yang kita lazimi sepanjang program, yang adik-adik ikut dalam keadaan ada yang bersahaja tak kurang juga yang main-main, sudah terbukti sebagai antara faktor utama kegemilangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Jadi, wajar kita guna pakai teladan daripada sejarah. Semoga daripada kumpulan kecil ini, sedikit demi sedikit diserap ke rutin masyarakat.

Demikian jugalah penceritaan dan pendedahan tentang ayat Surah Kahfi yang kadang terlelap dibuatnya waktu penyampaian, tapi andai Rasulullah SAW yang memberi jaminan akan terselamat daripada fitnah dajjal itu yang kita harapkan, maka tiada ralat untuk penekanan tentang ini diulang-ulang. Sebab kita maklum tentang kedahsyatan yang begitu di masa hadapan, dan solusinya pun sudah diajarkan, jadi ini peluang untuk usaha menyelamat itu dimulakan.

Inilah sebahagian komitmen pada tahap awalan, tanpa senjata mahupun titis darah. Jika berkemampuan dan diizinkan ke peringkat seterusnya, silakan. Senang sakit di sini, bermodalkan ikhlas dan kerana Allah, insyaAllah dinilai mulia di sisi Pencipta. Layankan penterjemahan hikmah yang masanya tertunggak dan berbahagialah bersama hari-hari yang tersisip pembelajaran.

Moga mudah diseimbangkan timbangan antara kualiti dan kuantiti. Laksana tangan segenggam berlainan ukuran biar kecil genggaman asal beras yang terkandung, kelak manfaat juga yang dikongsi. Berbanding besar genggaman tapi debu yang terkandung, disimpan kesal dibuang tak rugi.

Akhir kata, ada satu pentas yang terletak papan dan tersusun buah catur. Kita datang menjadi pemain yang tidak kelihatan pula pihak lawannya. Permainan bermula bersama pentas yang berubah cahaya terang seketika berselisih malap seketika. Namun permainan perlu diteruskan dengan tahap yang kian mencabar lagi berselang menang dan kalah. Jadi tenang, belajar dan usahakanlah supaya penamatnya kita turun pentas dengan kemenangan.
* * * * *

Dari pen, jari dan keyboard ex-vp 16. Lampiran dedikasi dengan ucapan, all the best dan selamat minggu recruitment. Terima kasih, assalamualaikum. 

Akhian forever



Share this:

CONVERSATION

0 comments :

Post a Comment